Sunday, 17 July 2016

Seminar Bimbingan PT3 bantu lonjak kecemerlangan

loading...

Seminar Bimbingan PT3 bantu lonjak kecemerlangan

Saiful Baheran Abdul Manaf (depan, enam dari kiri), Johari Ismail (depan, lima dari kiri) dan Norani Mat Ludin ( depan, tujuh dari kiri) bersama pelajar yang mengikuti Seminar Bimbingan Peperiksaan PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong, Pahang, semalam. Utusan/abdul rashid abdul rahman 

BENTONG 17 Julai – Penganjuran Seminar Bimbingan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) oleh Utusan Malaysia dan Berkat Minda Resources bertepatan dalam usaha mencapai kecemerlangan pendidikan menyeluruh di daerah ini.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bentong, Saiful Baheran Abdul Manaf berkata, program tajaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang julung kali diadakan di daerah ini amat signi­fikan dalam membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan pendidikan daerah, khususnya dalam usaha meningkatkan pres­tasi peperiksaan PT3.
Katanya, pemilihan pelajar berpotensi termasuk dalam kalangan yang kurang berkemampuan amat signifikan dalam memastikan kecemerlangan pen­didikan yang menyeluruh.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji yang menaja program ini dan Utusan Malaysia serta Berkat Minda Resources atas inisiatif amat bermakna ini.
“Usaha ini merupakan satu kerjasama dan sinergi yang baik bagi meningkatkan pencapaian pendidikan pelajar khususnya dalam menghadapi peperiksaan PT3 tidak lama lagi,” katanya selepas merasmikan seminar tersebut di Dewan Keris Mas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Pengarah Tabung Haji negeri, Johari Ismail; Pengurus Tabung Haji daerah, Azrisham Mahmad; Pengetua SMK Bentong, Norani Mat Ludin; Pengurus Projek Berkat Minda Resources, Mahmood Mat Ali dan Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad cawangan Temerloh, Abdul Latib Busu.
Program sehari itu melibatkan penyertaan 250 pelajar dari empat sekolah iaitu SMK Bentong, SMK Sulaiman, SMK Ketari dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong.
Menurut Saiful Baheran, se­minar berkenaan juga untuk memberi pendedahan mendalam tentang teknik pembe­lajaran untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan PT3 tidak lama lagi.
Katanya, penglibatan pakar dalam mata pelajaran tertentu itu pastinya dapat memberikan panduan dan tip berguna kepada pelajar.
Dalam pada itu, Johari berkata, program berkenaan merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tabung Haji kepada masyarakat di negara ini.
Katanya, menerusi program itu, pihaknya berharap dapat memberi bantuan kepada calon-calon PT3 berpotensi, khusus­nya yang kurang berkemam­puan untuk mendapat keputusan yang cemerlang.
“Saya berharap pelajar terlibat dapat memanfaatkan seminar ini. Selepas ini kita akan mengadakan pula seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kuantan dan Seminar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Muadzam Shah,” katanya.
Sementara itu, Norani berkata, program yang melibatkan penceramah luar bertepatan dengan keperluan pelajar yang telah diberikan pelbagai input di sekolah.
“Sememangnya pelajar memerlukan perubahan termasuk penceramah dari luar bagi memberikan semangat dan pelbagai pendedahan selepas mereka belajar di sekolah.
“Setakat ini maklum balas daripada pelajar amat baik dengan memberi tumpuan kepada seminar dan kami guru di sini berharap ia memberi impak besar kepada pelajar terlibat,” ujarnya


EmoticonEmoticon

Contributors

Powered by Blogger.