Friday 22 July 2016

Caj tadika tinggi: Kementerian Pendidikan bertindak ikut aduan

loading...

Caj tadika tinggi: Kementerian Pendidikan bertindak ikut aduan 




PUTRAJAYA 20 Julai – Ibu bapa diminta membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan sekiranya dikenakan bayaran yang keterlaluan oleh pengusaha tadika swasta di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, aduan tersebut akan mem­bo­lehkan kementerian mengawasi dan mengambil tindakan terhadap tadika terbabit.
Beliau berkata, pengusaha tidak boleh sewenang-wenang­nya menaikkan atau mengenakan kadar bayaran yang tinggi kepada ibu bapa kerana mereka tertakluk kepada kaedah-kaedah tertentu.

“Antara kaedah penentuan kadar bayaran tadika swasta ialah perlu mengambil kira lokasi, jumlah pelajar dan juga sistem pengajaran yang digunakan serta tenaga pengajar.
“Dalam hal ini sebenarnya terpulang kepada ibu bapa itu sendiri untuk mengambil keputusan menghantar anak mereka ke tadika swasta atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran ECCE sempena Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Serantau Pejabat Rantau Asia Timur dan Pasifik Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Wivina Belmonte; Pengarah Pendidikan Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Dr. Gwang Jo Kim dan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Laporan Khas Utusan Malaysia pada 17 Julai lalu mendedahkan kadar caj tadika swasta sangat tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit setahun oleh operator tadika swasta di negara ini.

Kadar tersebut meliputi yuran pendaftaran, yuran bulanan, buku dan uniform bergantung kepada pakej yang dipilih.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan aplikasi Pepatih MySekolah, Kamala­nathan berkata, pengenalan aplikasi baharu itu di beberapa sekolah merupakan projek rintis untuk menguji keberkesanannya.
“Pelaksanaan aplikasi baharu ini perlu mendapatkan persetujuan daripada ibu bapa, melalui kaedah ini mereka boleh memantau kehadiran anak-anak ke sekolah secara terperinci.
“Pelaksanaan secara menyeluruh aplikasi ini tertakluk kepada projek rintis dan setakat ini keberkesanan pelaksanaannya sedang diteliti,” katanya.
Sistem yang pertama seumpamanya di Malaysia itu kini sudah diaplikasikan di empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di Sentul, SMK Dato’ Ibrahim Yaacob di Jalan Ipoh, SMK Sungai Besi serta SMK Selandar di Melaka.


EmoticonEmoticon

Contributors

Powered by Blogger.